Resepi ini adalah atas permintaan Cik Ixora “Fly Over Me“. Dah beberapa kali dia minta tapi saya sibuk. La ni baru ada masa. Insya’allah resepi ini di samping sedap dan halalan toiyiba, juga baik untuk kesihatan kerana mengandungi banyak fiber. Lebih enak jika dimakan sejuk.
Dinginkan puding di ruangan biasa dalam peti sejuk dan JANGAN SESEKALI masukkan ke ruangan FREEZER. Kalau puding dah keras membeku, apabila ia kembali ke suhu normal, anda akan dapati teksturnya telah berubah menjadi “berurat-urat” atau “bersakar” dan tak sesuai dimakan, hanya layak ditongsampahkan!
PUDING JAGUNG
Bahan-bahannya;
- Tepung Kastard 1 cawan
- Air Masak 5 cawan
- Susu Cair (Optional) 1 tin
- Jagung Dalam Tin (Jenis Krim) 1 cawan
- Gula Pasir ½ cawan
- Garam 1 sudu kecil
Cara Membuatnya;
- Masukkan semua bahan ke dalam periuk atau kuali.
- Kacau bahan sehingga rata dan tidak berketul-ketul.
- Siapkan dapur dan masak dengan api sederhana.
- Sentiasa kacau hingga adunan menjadi likat dan berkilat.
- Proses memasak memakan masa dari 30 hingga 60 minit bergantung kepada tahap kekuatan api. Saya sarankan gunakan api sederhana besar pada permulaan tetapi jika dah hampir likat, bolehlah kecilkan api.
- INGAT, anda harus sentiasa mengacau adunan untuk memastikan tidak berketul dan hangus!
- Setelah likat dan berkilat, tuangkan adunan ke dalam mangkuk atau bekas.
- Biar ia sejuk dalam suhu bilik atau kalau tak sabar sangat, sila rendam bekas kedalam air. Pastikan air tu tak masuk ke dalam puding ya!
- Setelah itu masukkan ke peti sejuk.
KUAH BUAH-BUAHAN (Kuah Cocktail)
Bahan-bahannya;
- Buah-Buahan Dalam Tin / Cocktail Fruit 1 tin
- Susu Cair 1 tin
- Gula Pasir 4 sudu besar
- Garam ½ sudu kecil
- Tepung Jagung (Optional) 1 sudu besar
- Air Masak ikut kesesuaian
Cara Membuatnya;
- Masukkan semua bahan ke dalam periuk.
- Masak dengan api sederhana kecil.
- Bila dah mendidih, sila tutup api dan sejukkan.
- Jika anda dapati kuah terlalu pekat, sila tambahkan air masak mengikut kesesuaian yang anda perlukan.
- Jika anda merasakan kurang manis, sila tambah gula pasir atau gunakan SUSU/KRIMER PEKAT MANIS.
- Setelah selesai memasak, sila sejukkan kuah dengan suhu bilik.
- Apabila kuah telah bersuhu normal, masukkan ke dalam peti sejuk.
NOTA TAMBAHAN
- Seeloknya kemanisan puding hanya “manis-manis buah” sahaja sebab ia akan dilumuri oleh kuah buah-buahan yang melengkapkan rasanya yang sebenar – manis, sedikit masam buah dan berkrim susu.
- Kesan penggunaan SUSU CAIR dalam membuat puding ialah ia akan memberikan tekstur yang lebih lembut, warna putih susu dan rasa “lemak”.
- Jika SUSU CAIR tidak digunakan, puding akan lebih menonjol warna kekuningan, teksturnya rapuh dan kurang “lemak”.
- Puding yang dijual di pasaran terutamanya di pasar malam atau pasar ramadhan tidak menggunakan SUSU CAIR kerana faktor kos. Namun jika anda suka rasa yang begitu, so jangan letak SUSU CAIR la. No problem punya!
- Fungsi TEPUNG JAGUNG dalam bahan membuat KUAH BUAH-BUAHAN ialah untuk memekatkan kuah itu. Jika merasa tidak perlu atau tidak suka, jangan letak. Tiada masalah!
- Anda boleh tambah buah-buahan seperti anggur, potongan kecil tembikai susu, betik, pic dsb.
- Ada resepi (dari orang lain yang anda boleh dapat banyak di internet) yang tidak banyak menggunakan air untuk membuat puding. Boleh tu memang boleh, tetapi dikhuatiri jika tak pandai atau tersilap, puding kamu nanti jadi “jelantah” atau tak cukup masak. Kerana waktu memasak yang singkat sebab airnya sikit, tepungnya jadi tak berapa masak pula. Saya syorkan 5 cawan, tapi isteri saya letak 7 cawan… hehehe! Pilih, nak ikut cara saya atau cara isteri saya, dua-duanya boleh! Insya’allah menjadi!
- Ada beberapa gambar di internet yang saya dah tengok, mulanya saya nak cilok dan letak kat sini tapi tak jadi sebab saya rasa puding diorang tak betul2 masak.
- Puding jika tidak berapa masak akan cepat berair/berlendir, cepat menjadi basi juga ada “rasa tepung”.
- Memang perlu waktu yang lama untuk memasak puding yang baik. Anda juga terpaksa menghadapi kepanasan kerana harus mengacau secara terus-menerus hingga adunan menjadi LIKAT DAN BERKILAT. Tapi itulah THRILL dan ADVENTURE membuat puding! Jika ikhlas, di situlah terletak “barakah” untuk diri anda dan diri sesiapa yang memakannya, insya’allah!
- Mak saya ajar, jika sedang memasak bacalah surah Al-Kautsar dan berdoalah untuk orang-orang yang kita sayangi yang kita sedang memasak untuknya. Insya’allah akan memberikan kebaikan kepada yang memasak dan juga orang yang memakannya. Paling baik untuk keharmonian persaudaraan dan kekeluargaan. Semoga anda dan orang-orang yang anda sayangi akan hidup berbahagia di dunia dan juga di akhirat.
[FOTO LAIN KALI SEBAB SAYA TAK SEMPAT MASAK, ESOK ADA URUSAN DI LUAR DAERAH]

28 Januari 2008 at 1:13 am
Terima kasih daun keladi!
28 Januari 2008 at 7:40 pm
jom kita masak puding!!!
Nasron jawab;
Yaaaa… Lelaki mesti tahu memasak juga. Lelaki seboleh-bolehnya jadilah “all-rounder”. Walaupun tidak menjadi “pakar”, at least kita boleh atau tahu juga melakukannya. Baru orang kampung respek!
28 Januari 2008 at 9:59 pm
wahhhh lama dah tak pekena puding jagung la
Nasron jawab;
Cuba awak buat sendiri puding tu. Lepas tu ajak kawan2 makan dan “si dia” sekali. Kalau ada yg puji puding awak sedap, bukan hidung awak je yg “kembang”, hidung si dia pun “kembang” juga. Taktik tu sangat berkesan nak pikat “si dia”. You should try!
6 Jun 2009 at 7:22 am
En. Nasron..boleh tak ganti susu cair dengan susu tepung?
7 September 2009 at 9:47 am
MashALLAH resepi puding paling LENGKAP saya pernah jumpa. Terima kasih ya.
Ramadan Kareem!
9 September 2009 at 8:18 am
mst sedap ni…sy nak cuba la….
1 Oktober 2009 at 11:20 am
terima kasih banyak atas perkongsian ini, semoga ilmu yang dikongsikan ini mendapat keberkatan dan keredhaan Illahi…Insyallah
3 Oktober 2009 at 5:09 am
TeRiMa KaSiH SuDi BeRkOnGsi ReSePi PuDiNg, SaYa TeLaH MeNcUBa ReSePi Ini dah HaSiLnYa TiDaK MeNgEcEwAkAn SeRtA AmAt SeDaP ….TeRiMa KaSiH SeKaLi LaGi, KePaDa SaHaBaT2 Yg BeLuM MeNcUba SiLa LaKuKan SeKaRaNg Juga…